Monday, March 9, 2015

Bagaimana memilih lokasi rumah baru anda ?


Panduan memilih lokasi rumah

Dalam sibuk meninjau rumah contoh dan melawat ke beberapa kawasan perumahan baru atau rumah milik individu yang hendak dijual, jangan lupa selidik lokasinya.
Menjadi faktor penting harus diberi perhatian sewaktu mencari rumah, lokasi sasaran sebaik-baiknya berdekatan tempat kerja, kemudahan pengangkutan awam, lebuh raya dan sebagainya.
Ketahui juga latar belakang atau sejarah lokasi. Adakah ia kawasan selamat didiami? Adakah dahulunya ia merupakan bekas lombong atau pelupusan sampah? Atau sekadar hutan belantara yang belum diteroka?

BEKAS LOMBONG

Rancangan membangunkan perumahan di atas tanah bekas lombong bukan perkara baru. Ia bergantung pada tahap kesesuaian tanah, jenis perumahan dan skala pembangunan yang hendak dibina.
Keadaan dan fizikal tanah lombong amat mempengaruhi teknik serta ekonomi pemulihan tanah. Jika lombong berkeluasan besar maka kos menebus guna tersangat mahal dan sebab itu ia lebih sesuai dijadikan kolam rekreasi.
Jenis perumahan kos rendah juga didapati tidak berbaloi dibina di atas tanah ini tanpa sokongan daripada jenis-jenis perumahan lain. Pemaju akan mengalami kerugian besar kerana terpaksa menanggung kos membaik pulih dan menambak tanah lombong yang melebihi kos jualan rumah.
Justeru itu, konsep perumahan campuran (kos rendah dan kos sederhana atau kos sederhana dan kos mewah) sangat disarankan jika pemaju berminat mengusahakan tanah bekas lombong untuk tujuan pembangunan.
Skala projek pula harus dalam kategori tinggi agar hasilnya dapat menampung kos terlibat sekali gus berupaya memberi keuntungan. Oleh itu, perhatikan rancangan pembangunan sekitar bekas tapak lombong tersebut, adakah ia menepati ciri-ciri yang dibincangkan tadi. Projek pembangunan terancang oleh pemaju menentukan mutu rumah dan ketelitian struktur pembangunan di kawasan itu.

BEKAS TANAH PAYA

Kajian mendapati air hujan yang menyerap ke tanah dan mengalir ke dalam sungai di hutan dalam tempoh enam jam pertama hanya 20 peratus sahaja.
Ini bermakna nisbah air hujan yang meresap ke dalam tanah dan diserap oleh akar pokok atau bertakung di kawasan kolam serta tanah paya berdekatan sangat tinggi. Sekiranya kawasan tanah paya dibangunkan sebagai taman perumahan atau kawasan perindustrian, maka permukaan tanah tersebut pasti perlu ditambak dan disimen untuk tujuan pembinaan.
Secara tidak langsung mengundang kepada peningkatan jumlah air hujan yang mengalir daripada diserap ke dalam tanah sekitar 80 hingga 90 peratus dalam tempoh enam jam. Hal ini boleh mengakibatkan risiko banjir kilat secara kerap dan memudaratkan penduduk yang tinggal di kawasan itu jika tapak pebangunan tidak dirancang betul.
Rujuk pakar untuk mendapatkan maklumat mengenai struktur pembinaan di kawasan tersebut sama ada ia dilengkapkan dengan sistem longkang, perparitan dan kolam takungan air yang berkesan. Faktorfaktor ini dapat mengelak dan mengawal masalah bencana alam di kawasan bekas tanah paya.

BEKAS TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Sekiranya projek perumahan itu di atas bekas tapak pelupusan sampah, anda perlu berhati-hati dengan risiko yang boleh memudaratkan kesihatan.
Kita sedia maklum bahawa tapak pelupusan mengumpul pelbagai jenis sisa buangan termasuk benda merbahaya dari merata tempat. Lantas, pembangunan di kawasan ini boleh mengundang gangguan pada struktur tanah, pertumbuhan flora dan sumber asas makanan kerana wujudnya gas beracun seperti hidrogen sulfida serta metana yang barang kali masih terperangkap.
ecair daripada sistem saliran pelupusan juga mengandungi toksid merbahaya seperti klorit, fenol, larutan nitrogen tinggi dan manganese yang secara tidak langsung mencemarkan sumber air bawah tanah.
Justeru itu, kaji usia bekas tapak pelupusan tersebut sama ada sudah melebihi 30 hingga 50 tahun kerana itu merupakan tempoh yang diperlukan untuk memulihkan tapak pelupusan dan tentu sahaja menelan belanja tinggi.
Garis panduan merancang tapak pelupusan sisa buangan pepejal dan sisa toksid turut mengambil kira tanggungjawab sosial iaitu memastikan jarak tapak pelupusan berada kirakira 10 hingga 15 kilometer dari kawasan kepadatan penduduk serta pembangunan.

KAWASAN BUKIT DAN TANAH TINGGI

Kita banyak mendengar dan membaca berita tanah runtuh di kawasan perumahan berbukit atau tanah tinggi sejak kebelakangan ini. Hal ini berlaku kerana struktur pembinaan dan rancangan pembangunan tidak sempurna atau masalah pergerakan air di bawah tanah.
Memanglah malang tidak berbau, tetapi masing-masing perlu peka dan memikul tanggungjawab memastikan setiap aspek keselamatan dalam pembinaan dan pembangunan diambil kira.
Kawasan tanah tinggi atau berbukit biasanya menjadi pusat tadahan air. Kebiasaannya terdapat banyak pergerakan air bawah tanah dan ia menjadi semakin kerap apabila hujan. Pergerakan air berupaya mengubah struktur tanah di kawasan tersebut. Langkah mengurangkan pergerakan tanah perlu dibuat seperti membina retaining wall.
Selain itu, pemaju perlu membuat ujian tanah untuk mengenal pasti profail tanah dan keadaan air bawah tanah sama ada sesuai untuk dijadikan tapak pembangunan atau tidak.
Pembinaan cerun juga perlu mengikut speksifikasi kerana risiko rumah runtuh di kawasan berdekatan cerun adalah tinggi. Jika mahu membina rumah di tanah tinggi atau berbukit, pastikan struktur sokongan dari dalam tanah adalah kukuh dan mengikut piawaian ditetapkan.
Jika anda merancang membeli rumah di kawasan bukit atau tanah tinggi, teliti rekod pembangunan dan semak mutu projek perumahan yang pernah dihasilkan pemaju di situ.

2 comments:

  1. As salam..mohon pencerahan mengenai masalah saya ini..baru2 ini saya telah membayar 10% untuk sebuah rumah..tapi bila saya lihat di google map...rumah saya itu akan dibuat di atas bekas lombong atau tasik yang telah ditimbus dengan tanah.apakah tindakan yang perlu saya lakukan.tk

    ReplyDelete
  2. As salam..mohon pencerahan mengenai masalah saya ini..baru2 ini saya telah membayar 10% untuk sebuah rumah..tapi bila saya lihat di google map...rumah saya itu akan dibuat di atas bekas lombong atau tasik yang telah ditimbus dengan tanah.apakah tindakan yang perlu saya lakukan.tk

    ReplyDelete