Sungai Petani (singkatan
Sg. Petani atau "SP") merupakan sebuah bandar perindustrian di negeri
Kedah yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Sungai Petani ialah
bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar.
NAMA Bandar ini diambil
daripada nama sungai, iaitu Sungai Petani, anak Sungai Merbok. Pada
zaman dahulu,anak sungai itu dikenali dengan nama Sungai Bertanding,
kononya kerana anak sungai tersebut setanding atau selari dengan satu
anak Sungai Merbok yang lain. Jarak di antara dua anak sungai itu
kira-kira 60 meter.
Nama 'Petani' mungkin
berkaitan dengan daerah Pattani di Thailand. Pattani lahir daripada
perkataan Sanskrit pathini yang bermaksud 'perempuan yang suci'.
'Pathini' adalah gelaran yang diberikan kepada puteri Merong Maha
Wangsa, puteri yang dikatakan cantik rupa parasnya dan mulia pekertinya.
Puteri itu diangkat menjadi ratu yang disanjungi oleh penduduk di sana.
Ketika Kedah dikenali
dengan nama Langkasuka, para pedagang selalu berulang-alik antara Lembah
Merbok dan Pattani serta bahagian timur Semenanjung melalaui jalan
darat. Jadi, tidak mustahil jika nama Petani itu dipinjam daripada
gelaran ratu sanjungan tersebut.
Sektor perumahan
berkembang pesat di Sungai Petani. Semenjak tahun 1990-an, bandar Sungai
Petani menerima pelaburan besar oleh syarikat-syarikat pemaju
perumahan. Taman Ria, Taman Ria Jaya, Taman Peruda, Taman Mutiara Indah,
Taman Berlian merupakan perumahan terancang yang terawal di Sungai
Petani. Menjelang tahun 1999 sehingga 2007, beberapa bandar baru
dimajukan antaranya ialah Bandar Aman Jaya, Bandar Mutiara, Bandar
Puteri Jaya, Bandar Sri Astana, Bandar Sri Cendana, Legenda Heights,
Bandar Laguna Merbok, Bandar Puteri Hill Park dan Cinta Sayang Resort.
Bandar Sungai Petani
sangat mudah dihubungi dengan jaringan jalan raya, jalan kereta api dan
laluan udara. Dari ibu negara, Kuala Lumpur, perjalanan ke utara menuju
Sungai Petani melalui lebuhraya utara selatan. Jalan Persekutuan turut
menghubungkan Sungai Petani dengan beberapa bandar utama seperti Alor
Setar, Butterworth dan Ipoh. Bagaimanapun, perjalanan melalui lebuhraya
utara selatan lebih cepat dan selesa. Sekiranya menaiki kereta api, anda
boleh turun di stesen keretapi Sungai Petani yang terletak di pusat
bandar. Jalan kereta api bermula dari Padang Besar, Perlis melalui
bandar seperti Alor Setar, Gurun, Sungai Petani, Bukit Mertajam,
Butterwoth, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Slim River, Tanjung Malim,
Sungai Buloh dan Kuala Lumpur. Terdapat perjalanan terus dari Kuala
Lumpur, Bangkok dan Hatyai melalui Sungai Petani.
SEJARAH AWAL penubuhan
sistem Kerajaan Tempatan di Sungai Petani bermula pada tahun 50an lagi,
iaitu ketika Ordinan Majlis Tempatan 1952 diluluskan dan diterimapakai.
Kemudian dalam tahun 1953, Lembaga Bandaran Sungai Petani (Sungai Petani
Town Board) untuk pentadbiran bandar Sungai Petani diwujudkan.
Pada 01 Ogos 1975 MAJLIS
DAERAH KERAJAAN TEMPATAN KUALA MUDA (MDKT. KM) ditubuhkan dengan
meliputi kawasan Sungai Lalang, Jeniang, Merbok, Bukit Selambau, Bedong
dan Gurun.
Pada 01 Februari 1978
MAJLIS DAERAH KUALA MUDA (MDKM) diwujudkan bagi menggantikan MDKT.KM,
berikutan kuatkuasanya Undang-Undang Kerajaan Tempatan Akta 124
(Peruntukan Sementara) dan telah diwartakan mengikut Sek. 3 Akta
Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Penubuhan ini melibatkan Penguasa
Tempatan Lembaga Bandaran yang digabungkan seperti berikut :-.
• Majlis Bandaran Sungai Petani
• Lembaga Bandaran Kuala Muda, Kota Kuala Muda, Padang Lembu, Semeling, Tanjung Dawai & Tikam Batu.
• Majlis Tempatan Sungai Lalang, Jeniang, Merbok, Bukit Selambau, Bedong dan Gurun.
MDKM
dipertanggungjawabkan untuk mentadbir keseluruhan kawasan Daerah Kuala
Muda dari segi perancangan, kawalan bangunan, kesihatan, kemajuan projek
dan perlesenan.
NAIK TARAF
===========
SUNGAI PETANI sekali
lagi dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran pada 02 Julai 1994
bersamaan 22 Muharram 1415H dan perisytiharan ini telah disempurnakan
oleh YAB Tan Seri Dato' Seri Haji Osman bin Haji
Aroff.,PSM.,SSDK.,DHMS.,JMN.,JP - Menteri Besar Kedah Darul Aman ketika
itu.
Dengan kenaikan taraf
ini, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dipertanggungjawabkan
sepenuhnya terhadap kawalan pembangunan, pelesenan, perancangan,
penyediaan kemudahan infrastruktur dan sebagainya bagi memastikan
kemajuan pembangunan bandar dan kemakmuran hidup penduduk bandar Sungai
Petani dan Kuala Muda amnya.
Lapangan terbang
terdekat dengan Sungai Petani ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan
Lepas di Pulau Pinang iaitu lebih kurang 45 km dari pusat bandar. Selain
itu, terdapat satu lapangan terbang bagi laluan domestik di Alor Setar
iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
No comments:
Post a Comment